Laman sesawang Kesturi ini merupakan laman sesawang rasmi Persatuan Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI). Di sini kami menyediakan maklumat dan dokumentasi berhubung aktiviti-aktiviti dan kegiatan persatuan, selain menyiarkan makalah dan hasil-hasil penulisan daripada seminar dan program-program yang dijalankan untuk rujukan ahli persatuan dan masyarakat amnya. Untuk keterangan lanjut, sila layari ruangan-ruangan yang disediakan (menu di atas), atau melayari kandungan-kandungan yang disiarkan di laman ini. ASASI sentiasa mengalu-alukan penyertaan keahlian baharu. Jika berminat menyertai ASASI, anda boleh mendaftar atau mendapatkan maklumat menerusi borang keahlian yang disediakan. Sekretariat ASASI boleh dihubungi menerusi butiran yang tertera di ruangan ‘Hubungi‘.
Sejarah ASASI
Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), sebuah pertubuhan ilmiah yang dimapankan pada 29 hb. Mei 1977.
Pada mulanya Akademi ini memang tidak ditujukan kepada ahli sains sosial atau kemanusiaan, tetapi mulai lebih kurang sedasawarsa penubuhannya, perlembagaannya dipinda supaya semua ilmuwan dalam bidang apa pun dapat menganggotainya sesuai dengan makna sains mengikut perspektif Islam. Kini, anggota ASASI menjangkau lebih daripada 300 orang ahli (kebanyakannya ahli akademik dan peiktisas) dalam pelbagai bidang ilmu.
Sesiapa yang memiliki ijazah dalam apa juga bidang layak memohon menjadi ahli biasa ASASI. Selainnya bolehlah memohon untuk menjadi ‘ahli bersekutu.’ ASASI juga menawarkan kepada seseorang individu menjadi ahlinya bertaraf Anggota Kehormat jika seseorang rakyat Malaysia Muslim itu dianggap banyak memberi sumbangan pembangunan sains atau teknologi kepada umat Muslim di Malaysia.
Dengan semangat untuk mendukung cita-cita kesatuan dan kesepaduan ilmu, sepertimana yang menjadi temanya, ASASI telah menggariskan beberapa tujuan penubuhannya. Ini termasuklah:
- Untuk menghidupkan semula tradisi sains berasaskan al-Quran, iaitu satu bentuk kajian tentang alam tabii atau fenomena dan telatah yang tidak memisahkannya daripada prinsip-prinsip Islam.
- Untuk memperkenalkan dan mendokong konsep dan falsafah sains Islam bersama-sama dengan etika Islam dalam kegiatan sains dan penyelidikan.
- Untuk menggalakkan kajian sains dalam kalangan masyarakat dan menjadikan al-Quran sebagai satu daripada sumber inspirasi, hidayah dan rujukan dalam kegiatan sains.
- Untuk berpegang teguh kepada keinginan dan tekad bagi mengembalikan bahasa Arab, sesuai dengan peranannya sebagai bahasa al-Quran, kepada kedudukannya yang asal dan betul sebagai bahasa sains dalam dunia Islam.
- Untuk melakukan usaha memadu, mengamir atau mengintegrasi dan menggembleng para ilmuwan Muslim ke arah membangun dan memajukan masyarakat Islam terutamanya dalam S & T.
- Untuk bekerjasama dengan organisasi-organisasi lain, dalam dan luar negara, bagi memastikan kegunaan ilmu sebagai alat untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat dan bukan untuk pemusnahan insan.
Semenjak penubuhanya, ASASI menerbitkan warkah berita dwitahunannya yang berjudul ASASAINS. Di samping itu, sejak 1990, ASASI turut menerbitkan jurnal ilmiah dwitahunannya yang berjudul Kesturi, yang kini nama tersebut dirakam pada laman sesawang ASASI ini.
Selain menganjurkan kegiatan wacana, sama ada berbentuk seminar, bengkel, persidangan dan sebagainya, ASASI dalam waktu yang sama juga menerbitkan buku-buku ilmiah dan pascasidang kepada simposium yang mengungkapkan gagasan tentang pengIslaman ilmu atau isu-isu semasa mengikut perspektif Islam. Antaranya buku-buku tersebut termasuklah, Siri Wacana Sejarah dan Falsafah Sains 8 (Mohd Yusof Haji Othman et al.), Pemikiran Sains Masa Kini (Osman bin Bakar), Al-Farabi: Life, Works and Significance (Osman bin Bakar), Pengenalan Sejarah dan Falsafah Sains (Shaharir bin Mohamad Zain), A positive Aspect of Tasawwuf. A Preliminary Thought (Syed Muhammad Naquib al-Attas), dan lain-lain lagi.